suria

Ulang Tahun Umno Ke-71 Sambutan Terbesar Pernah Diadakan

Taklimat media mengenai majlis sambutan ulang tahun Umno ke-71 pada 11 Mei depan oleh Setiausaha Kerja parti Datuk Seri Ab Rauf Yusof. -fotoTHESTAR

KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun Umno pada 11 Mei depan akan menjadi yang terbesar pernah diadakan dalam sejarah parti itu dengan jangkaan penyertaan lebih 140,000 anggotanya dari seluruh negara.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata sejajar dengan 'mood' pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang semakin dirasai, sambutan ulang tahun kali ini mahu memaparkan kesepakatan Umno dan Barisan Nasional umumnya sebagai parti pilihan rakyat.

"Kita jangkakan setiap bahagian Umno menghantar 1,000 penyertaan dari bahagian masing-masing untuk acara pada 11 Mei ini di Stadium Bukit Jalil dan dengan kehadiran mereka kita mahu menerapkan semangat kesepakatan untuk PRU akan datang.

"Kita sedang merangka intipati terbaik untuk dipaparkan pada sambutan itu bahawa Umno dan Barisan Nasional adalah pilihan terbaik pada PRU akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat teknikal majlis sambutan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini Isnin.

Ab Rauf berkata bersempena sambutan ulang tahun itu, pelbagai acara dan program kesukanan akan diadakan bermula seawal pertengahan bulan depan di peringkat bahagian dan negeri.

"Kita juga akan mengadakan acara larian bendera bermula 1 Mei yang akan dimulakan di empat penjuru iaitu Perlis, Kelantan, Johor dan Sabah yang akan berakhir pada 11 Mei di Bukit Jalil," kata Ab Rauf.

Katanya, sambutan kemudian akan tertumpu di Stadium Bukit Jalil pada 10 dan 11 Mei dengan pelbagai program dan karnival berbentuk jualan dan hiburan diadakan dan dijangka akan menarik kedatangan sehingga 200,000 pengunjung.

Katanya, beberapa pihak telah mengesahkan penyertaan untuk menganjurkan program untuk tempoh dua hari itu antaranya Media Prima yang akan menganjurkan Karnival WOW dan Pemuda Umno yang akan menganjurkan pameran kerjaya.

Katanya, paling menarik adalah acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk enam buah kereta dan 10 buah motosikal untuk dimenangi anggota Umno yang telah mendaftar sebagai pengundi.

"Setakat ini hadiah utamanya adalah sebuah kereta Proton Perdana dan kita masih menunggu jika ada tambahan lagi untuk hadiah-hadiah bagi cabutan bertuah itu," katanya.

Beliau berkata sambutan kali ini juga akan memberi tumpuan kepada generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan satu pertandingan akan diadakan untuk mereka mempamerkan kreativiti dalam penulisan dan lukisan bersifat patriotik.

Katanya, pertandingan itu terbuka untuk mereka yang berusia 30 tahun ke bawah dan jika hasil kreativiti mereka terpilih sebagai pemenang, mereka berpeluang memenangi hadiah antara RM5,000 hingga RM20,000.

Umno akan mengumumkan butiran mengenai pertandingan itu kemudian, katanya.

Ab Rauf menambah, acara kemuncak pada malam 11 Mei pula akan bermula dengan upacara penyerahan dan menaikkan bendera Umno diikuti dengan ucapan Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti dan ucapan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, acara kemudian diteruskan dengan majlis pecah tanah kompleks Pusat Dagangan Dunia KL Putra, yang merangkumi pembinaan menara setinggi 70 tingkat yang akan akan menjadi mercu tanda baharu bagi Umno.

"Pada acara itu, tempat letak kereta bertingkat di Hentian Putra akan diruntuhkan sebagai simbolik permulaan kerja-kerja projek itu yang akan disiarkan secara langsung dari PWTC ke Stadium Bukit Jalil," katanya.

Katanya, acara malam itu akan diteruskan dengan penyampaian Anugerah Tokoh Melayu Terbilang dan upacara memotong pulut kuning.

ulang tahun Umno, Ab Rauf Yusof

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan