suria

'Datuk' Paksa 172 Pekerja Kilang Kerja Lebih Masa Diberkas

KLANG: Pasukan Petugas Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri pada Selasa membongkar kegiatan seorang 'Datuk' yang memaksa 172 pekerja kilangnya bekerja lebih masa.

Ketua pasukan itu, DSP Hadzwan Zulkefle berkata pembongkaran tersebut adalah hasil risikan selama tiga minggu susulan aduan yang diterima pihaknya mengenai kegiatan mencurigakan di kilang pemprosesan sarang burung walit di sini.

Beliau berkata siasatan ke atas 'Datuk' berumur 29 tahun itu mendapati lelaki berkenaan mengeksploitasi 172 pekerja wanita terdiri daripada rakyat tempatan, warga Indonesia dan Myanmar untuk bekerja lebih 16 jam sehari tanpa cuti.

"Gaji pekerja pula ada yang tidak dibayar, lambat dibayar malah dipotong sehingga tinggal hanya RM200 ke RM300 sebulan jika mereka terpaksa ambil cuti sakit atau kilang tutup untuk cuti am.

"Premis didapati beroperasi sejak 2014 dan siasatan ke atas pekerja mendapati mereka mengalami penyeksaan mental kerana bekerja lebih masa setiap hari sehingga ada yang pengsan sebab terlalu penat," katanya kepada pemberita.

Hadzwan berkata pemeriksaan lanjut ke atas premis itu menemui pasport pekerja asing disimpan di pejabat pengurusan kilang namun permit kerja mereka didapati disalahgunakan majikan apabila ada antara mereka dibawa masuk ke negara ini sebagai pembantu rumah.

Menurutnya lagi, walaupun pekerja kilang itu diberi kemudahan asrama, namun pergerakan mereka diatur kerana setiap malam pengurusan kilang akan mengunci pintu asrama dari luar tepat pukul 11 malam.

"Pekerja yang berumur 18 hingga 40 tahun itu rata-rata sudah bekerja di kilang berkenaan dalam dua hingga tiga tahun.

"Jika mereka ada lakukan kesalahan atau selagi tidak siap proses sarang burung, mereka tidak boleh balik ke asrama atau dipaksa buat kerja pembersihan," katanya.

Beliau berkata 'Datuk' itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana didapati melanggar Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959 dan Akta Kerja 1955 selain kesemua pasport pekerja asing serta dokumen berkaitan pekerjaan di kilang itu dirampas.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Bukit Aman, Jabatan Imigresen serta Jabatan Tenaga Kerja.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang turut serta dalam operasi tersebut menyatakan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan pemerdagangan manusia.

Beliau berkata bagi melindungi mangsa yang diperdagangkan, jabatan itu akan membekukan aset atau akaun pihak yang menganiaya sebagai pengajaran kepada semua agar mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan sama.

"Kita tidak akan berkompromi dalam hal sebegini yang menjadikan pekerja seolah-olah hamba...apabila orang asing kerja di negara kita dan cerita yang kita perdagang orang, ia sangat menjatuhkan imej.

"Jadi gabungan tindakan penguatkuasaan undang-undang baik polis, Imigresen ataupun pihak berkuasa tempatan perlu terus dijalin dalam semua aspek untuk membendung dan mengambil tindakan," katanya. - BERNAMA

MAPO, kerja lebih masa

Artikel Lain