suria

Pindaan Undang-Undang Tangani Ketum Diusulkan

KANGAR: Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man mengusulkan agar pindaan undang-undang berkaitan penagihan ketum dilakukan segera bagi memantapkan penguatkuasaan.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya, polis tidak mampu menangani sepenuhnya masalah itu disebabkan undang-undang yang ada tidak selaras dengan langkah penguatkuasaan.

"Kekangan dihadapi polis disebabkan kelemahan peruntukan undang-undang itu yang tidak mengharamkan penanaman ketum tetapi penjualannya pula diharamkan.

"Oleh itu perlu ada mekanisme seperti undang-undang (berkaitan ketum) yang selaras dengan objektif polis agar penguatkuasaan terhadap kesalahan berkenaan dapat dilakukan secara optimum," katanya kepada pemberita, di sini pada Selasa.

Azlan berkata kerajaan negeri memandang serius hal berkaitan penyalahgunaan ketum itu kerana ia merupakan antara masalah yang perlu dibanteras di Perlis selain kegiatan penyeludupan dan jenayah lain. 

"Saya yakin anggota polis sentiasa komited dalam menjalankan tugas mereka dalam memerangi jenayah secara habis-habisan serta meletakkan kadar jenayah di negeri ini pada tahap yang paling rendah," katanya menurut laporan Bernama.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan peribadi kepada 15 angota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis yang menghidap penyakit kronik sempena Hari Polis ke-201.

Tangani Ketum

Artikel Berikut

Artikel Lain