suria

NGO Anjur Debat Annuar-Kit Siang

KUALA LUMPUR: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan debat antara Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dijangka berlangsung pada akhir April.

Pengerusi sekretariat penganjur yang juga Pengarah Yayasan Keusahawanan Sosial Malaysia (YKS), Dr Ammar Hassan berkata, debat selama dua jam itu bertajuk 'Yang Berhormat Lim Kit Siang Pengamal Politik Rasis, Diktator dan Anti-Islam.

"Tarikh debat belum ditetapkan lagi dan lokasi dicadangkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Kita telah menghantar surat jemputan secara rasmi kepada Annuar Musa dan Lim Kit Siang," katanya pada sidang media di PWTC di sini, Selasa.

Bagaimanapun Dr Ammar mendakwa Annuar telah menyatakan kesediaannya untuk berdebat dan kini sedang menunggu persetujuan rasmi kedua-dua pihak.

Ammar berkata, debat tersebut merupakan platform kepada kedua-dua pemimpin politik itu untuk menyatakan pendirian dan penjelasan berhubung dakwaan masing-masing.

Mengenai format, beliau berkata, debat itu akan membabitkan seorang wakil Annuar untuk mengemukakan soalan kepada Kit Siang dan begitu juga sebaliknya dari pihak Ahli Parlimen Gelang Patah, dan kemudiannya sesi soal jawab dibuka kepada hadirin.

Menurut Ammar, pihaknya memperuntukkan kehadiran masing-masing 500 penyokong Annuar dan 500 penyokong Kit Siang, selain turut menjemput beberapa NGO dan pelajar universiti.

"Saya yakin kedua-kedua pihak akan menerima (debat) sebab mereka cabar-mencabar di Parlimen.

"Jadi, kami sebagai sekretariat NGO, sebagai neutral bukan mewakili parti mereka untuk menganjurkan (debat)," katanya.

Dr Ammar (dua, kanan) dan ahli jawatankuasa penganjur, Mohd Ali Baharom (dua, kiri) pada sidang media.

Beliau menambah, permohonan untuk mendapatkan permit polis akan dibuat bagi penganjuran debat berkenaan.

Sebelum ini, Annuar mengulangi kata-katanya bahawa Kit Siang seorang rasis, anti-Islam dan diktator politik sambil mencabar Penasihat DAP itu mendakwanya di mahkamah jika apa yang disebutkan itu tidak benar.

Kit Siang kemudiannya mendakwa Annuar sebagai 'bapa segala rasis'.

Pada Khamis lalu, Annuar menawarkan ganjaran wang tunai RM10,000 kepada mana-mana pihak yang boleh mendedahkan fakta tentang Kit Siang seorang yang rasis, anti Islam dan diktator politik.

Ganjaran itu kemudiannya dinaikkan kepada RM50,000 menerusi penulisan di blog, artikel di dalam media, video pendek atau info grafik.

Annuar Musa, Lim Kit Siang

Artikel Lain