PETALING JAYA: Mayat warga Korea Utara, Kim Jong-nam dipercayai sudah dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menggunakan sebuah van kira-kira pukul 1.40 tengah hari Khamis. Difahamkan van jenis Toyota Hiace berwarna kelabu itu meninggalkan perkarangan IPFN dengan diiringi tiga unit kereta peronda polis (MPV). Sebelum itu, van tersebut yang mempunyai tulisan kecil 'van jenazah' pada cermin belakang berserta nombor telefon itu memasuki perkarangan IPFN kira-kira pukul 1.35 tengah hari. Van tersebut berada dalam kawasan IPFN selama lima minit sebelum beredar selepas keranda dipercayai mengandungi mayat Jong-nam dimasukkan. Menurut sumber, mayat Jong-nam dipercayai akan diterbangkan dengan sebuah pesawat ke Beijing, kira-kira pukul 6 petang Khamis. Sebelum ini, mayat Jong-nam dikatakan tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.30 tengah hari sebelum dijadualkan dibawa naik pesawat penerbangan nasional pada pukul 6.25 petang. Bagaimanapun, sumber memberitahu, mayat Jong-nam sememangnya telah dibawa ke lapangan terbang itu kemudian dibawa keluar semula dari lokasi terbabit. Mayat Jong-nam dilaporkan dikembalikan ke rumah mayat HKL disebabkan oleh 'isu teknikal', dalam proses penghantaran pulang ke Macau. Jong-nam yang juga abang tiri kepada pemimpin Korea Utara mati dibunuh pada 13 Februari lalu oleh dua wanita asing yang menggunakan agen saraf VX dengan menyapu bahan kimia berbahaya itu di muka mangsa. Kejadian itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika mangsa sedang menunggu penerbangan ke Macau. Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol seperti di dalam pasportnya, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.