suria

Dua Pelajar Universiti Hilang Di Bukit Broga

KAJANG: Dua pelajar Universiti Nottingham dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Broga di Semenyih.

Lelaki warga Kenya, Nyamu Wanyolke, 20 dan wanita rakyat Britain, Katie Clubb, 19 dilaporkan hilang pada kira-kira pukul 7.50 malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nayan berkata, rakan mangsa memberitahu polis kali terakhir menerima mesej daripada Clubb pada pukul 7.46 malam.

"Kami diberitahu kedua-dua rakan itu mendaki bukit itu petang Rabu.

"Pada kira-kira pukul 8.15 malam, operasi mencari dan menyelamat bermula dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM)," katanya.

Othman berkata, operasi hampir empat jam meliputi kawasan sekitar bukit berkenaan bagaimanapun terpaksa dihentikan kerana cuaca tidak mengizinkan.

"Operasi diteruskan pada pukul 8 pagi ini.

"Berdasarkan mesej terakhir mangsa, mereka berada di kawasan berhampiran bendera Malaysia.

"Kami percaya mereka telah sampai ke puncak tetapi mereka tidak dapat dikesan apabila pasukan mencari tiba di lokasi, ," katanya.




Artikel Lain