suria

Polis Tumpas Sindiket Tipu Guna Nama Raja Muda Kedah

Fotofit tiga suspek termasuk pasangan suami isteri berusia 57 dan 60 tahun serta seorang bekas anggota polis berusia 35 tahun yang dipercayai terlibat dengan kes penipuan menggunakan nama Raja Muda Kedah hingga melibatkan kerugian lebih RM340,000.

ALOR SETAR: Polis Kedah melumpuhkan satu sindiket penipuan menggunakan nama Raja Muda Kedah dengan penangkapan dua lelaki di sekitar Kajang, Selangor dan Pulau Pinang, Februari lalu.

Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPK Kedah, Supritendan Chan Teck Paing, kedua-dua lelaki berumur 62 dan 40 tahun itu ditahan pada 14 dan 18 Februari lalu susulan laporan polis yang dibuat seorang pegawai di Bahagian Keselamatan Istana Anak Bukit pada 12 Februari lalu.

"Pegawai keselamatan itu membuat laporan polis selepas menerima mesej  kiriman WhatsApp seorang individu yang mahu membuat pengesahan mengenai urusan mengutip dan menerima dana menggunakan nama Raja Muda Kedah bagi membawa balik jongkong-jongkong emas yang dibawa keluar pihak British semasa pemerintahan British dulu," katanya ketika ditemui Bernama di IPK Kedah di sini, Khamis.

Katanya, setakat ini, sindiket penipuan ini telah memperdayakan ramai mangsa dengan pulangan lebih RM342,000 sejak mula bergerak aktif Disember 2016 di seluruh Malaysia.

"Daripada siasatan yang dijalankan mendapati modus operandi yang digunakan sindiket ialah memperdayakan mangsa kononnya akan mendapat ganjaran jika menyumbang dana bagi membawa pulang jongkong-jongkong emas yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit.

"Mereka juga mendakwa berada di bawah naungan Raja Muda Kedah untuk mengumpul dana bagi tujuan itu selepas perjanjian 200 tahun menyimpan jongkong emas di dua buah bank luar negara. 

"Mereka memperdayakan mangsa dengan menjanjikan pulangan lumayan di mana setiap sumbangan dana RM11,000 akan diberi ganjaran sehingga RM300 juta selepas emas-emas itu dibawa balik, itu yang memudahkan mereka diperdaya" katanya.

Teck Paing berkata, aktiviti sindiket itu bergerak aktif di dalam dua grup Whatsapp yang diwujudkan sindiket di mana satu dikenali 'special task force' dengan keahlian 238 ahli dan 'special task force 2' dengan keahlian 49 orang.

"Mangsa yang terpedaya terus memasukkan wang ke dalam akuan bank seorang pemilik akaun sindiket sebelum ahli sindiket mengagih-agihkan dana sumbangan kepada ahli sindiket lain sebagai upah penyamaran mereka sebagai Datuk dan Datuk Seri dalam aktiviti itu," katanya.

Ujar beliau, hasil siasatan polis mendapati, mangsa membuat sumbangan antara RM1,000 hingga RM6,000 dan kebanyakan mereka berumur 30 hingga 60 tahun yang ingin mengejar kekayaan sekelip mata.

"Setakat ini, tiada mangsa yang tampil membuat laporan polis dan kita meminta mereka yang terpedaya datang ke balai polis terdekat untuk membuat laporan," katanya.

Dalam pada itu, Teck Paing berkata, polis kini sedang mengesan tiga lagi individu yang dipercayai dalang utama dalam aktiviti ini.

"Daripada tiga yang kita cari ini, ia melibakan pasangan suami isteri berumur 57 dan 60 tahun di alamat terakhir mereka di Jalan Kempas, Johor Bharu dan seorang bekas anggota polis berumur 35 tahun dari Taman Sejati Indah, Sungai Petani, dekat sini. Kita minta mereka tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda. -- Bernama


Raja Muda Kedah, Sungai Petani

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain