suria

Mural Gerai Cendol Terkenal Tarikan Terkini Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Pelanggan gerai cendol Teochew di Lebuh Keng Kwee di sini akan berpeluang merakam gambar di tembok bersebelahannya sambil menikmati pencuci mulut yang enak lagi menyegarkan itu.

Ketika ini, pelukis jalanan Kanada, Emmanuel Jarus sedang sibuk menyiapkan kerja tangannya yang tentunya menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke gerai itu.

Tinjauan The Star mendapati ada beberapa pelanggan gerai itu sudah mula mengambil gambar berlatar belakangkan mural berkenaan.

Jarus, 25, menggunakan tangga berlipat untuk menyiapkan hasil karyanya itu.

Kata pelukis itu, beliau kembali ke Pulau Pinang awal bulan ini untuk melawat kenalannya dan mula melukis mural itu tiga hari lalu.

Menurutnya, kali ini, mural setinggi 10 meter dan kira-kira enam meter lebar itu memaparkan wajah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang membesar di Pulau Pinang.

Lebih menarik lagi dan sesuai dengan lokasi mural itu, remaja berkenaan sedang menikmati semangkuk cendol.

Kata Jarus, remaja lelaki bernama Andersen itu ditemuinya di kawasan warisan sekitar bandaraya ini ketika berkunjung ke negeri ini November lalu.

"Dia bersama saya ketika pertama kali saya berkunjung ke gerai cendol ini.

"Ketika menikmati cendol di sini, saya sempat merakam gambarnya," katanya.

Kata Jarus, ketika memutuskan untuk melukis mural itu dia terus teringatkan gambar Andersen yang diambilnya untuk dijadikan fokus utama lukisannya.

Beliau yang melukis tidak kira siang atau malam menjangka mural itu dapat disiapkan pada Jumaat ini.

Sebelum ini, Jarus melukis mural setinggi 15.24 meter dan 7.62 meter lebar di dinding bangunan 1st Avenue Mall di Jalan Magazine di sini.

cendol, Jarus

Artikel Lain