suria

Tanpa Sokongan BN, PAS Teruskan Rancangan Asal Bentang RUU355

PETALING JAYA: PAS akan meneruskan rancangan untuk membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sebagai Rang Undang-Undang 355 (RUU355) Persendirian oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selepas ia tidak mendapat sokongan kerajaan Barisan Nasional (BN)

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, beliau bagaimanapun telah menjangka keputusan seumpama itu akan dibuat BN.

"Kami telah menjangka perkara ini akan berlaku. Kami tahu Barisan tidak akan membentangkan Rang Undang-Undang ini kerana mereka tidak pernah mengarahkan Umno untuk menyokong atau mengundinya, lebih-lebih lagi ahli parti komponen di kalangan bukan Islam," katanya kepada The Star Online.

Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu malam mengumumkan kerajaan tidak akan mengambil alih pembentangan pindaan akta itu dan ia akan kekal menjadi RUU Persendirian.

Kata Perdana Menteri, keputusan itu selaras prinsip konsensus dalam BN selepas mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu gagal mencapai persetujuan bersama berhubung perkara itu.

Susulan itu, kata Mahfodz, parti itu akan teruskan dengan rancangan asalnya untuk membenarkan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang membentangkan RUU355 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, PAS telah mencuba sebaik mungkin untuk bekerjasama dengan parti lain untuk kebaikan semua pihak.

"Kami cuba meredakan saingan dengan Umno dan mengamalkan politik matang. Kini jelas sekali apa sebenarnya pendirian Umno dan ia bukan sesuatu yang mengejutkan," katanya.

Susulan situasi terkini, kata Mahfodz, adalah sukar RUU355 akan dluluskan, tetapi menganggap ia satu kejayaan pihaknya kerana dapat membawanya ke Parlimen.

"Kami hadapi pelbagai kesukaran untuk membawa RUU ini ke Parlimen tetapi kini ia akan dibentang dan dibahas.

"Walaupun sedar sukar untuk mendapat sokongan semua pihak, namun ia pencapaian yang baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Nasrudin Hassan berkata, parti itu tidak bimbang dengan keputusan BN itu.

"Jika RUU itu dibentangkan pihak kerajaan tentunya ia menjadi keutamaan. Jika ia kekal sebagai RUU persendirian, keputusannya terletak kepada Speaker," katanya.


Dewan Ulama, Mahfodz, PAS, BN

Artikel Lain