JOHOR BAHRU: Empat lelaki dipercayai sesat di Gunung Panti, Kota Tinggi, petang Jumaat. Ketua Zon Kota Tinggi Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mereka pada 6.02 petang Jumaat. "Kenderaan yang dipercayai kereta mangsa jenis Perodua Kelisa dijumpai berdekatan air terjun," katanya dalam satu kenyataan di sini. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai beberapa anggota polis dan Jabatan Hutan itu pada Jumaat dihentikan pada 6.30 pagi Sabtu dan dijangka bermula semula pada 9 pagi ini, katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman ketika dihubungi mengesahkan laporan kehilangan itu. Menurut beliau, setakat ini tiada maklumat lanjut mengenai kehilangan keempat-empat mangsa. - BERNAMA