suria

Keinginan Berubah Masih Rendah Di Kalangan Petani

Tajuddin Abdul Rahman

TELUK INTAN: Tahap keinginan untuk berubah dan memajukan diri dalam kalangan petani di negara ini masih rendah, sekali gus meletakkan mereka di takuk lama, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya rata-rata petani didapati selesa dengan keadaan sedia ada, memaksa kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk merealisasikan agenda mentransformasikan sektor pertanian.

"Kita tidak buat kajian yang secara empirikal, tetapi hanya secara umum. Ambil contoh pesawah yang dianggar seramai 400,000 orang sekarang, tetapi rata-rata pendapatan mereka sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan dengan keadaan sekarang pendapatan itu dianggap rendah.

"Bagi saya produktiviti, kualiti, daya saing, daya maju yang rendah dan keseluruhannya masih belum kompetitif," katanya kepada pemberita ini selepas meninjau persiapan sempena Program Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017, Sabtu. 

Mengulas GTN 2017, Tajuddin berjarap kempen yang lebih holistik itu akan menjadi titik permulaan bagi mengubah sikap dan pemikiran petani di negara ini.

GTN 2017 yang bertemakan 'Tingkat Daya Saing Petani’ dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 15 April ini di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Degong, di sini. -Bernama

Artikel Berikut

Annuar Musa Masuk Wad HUSM

Artikel Lain