suria

Dialog Tun M - Nazri Batal

Hussamuddin mmenunjukkan surat pembatalan dialog berkenaan. Foto: Sinar Harian.

SHAH ALAM: Dialog antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang dijadualkan pada 7 April ini dibatalkan susulan pembatalan permit kebenaran oleh pihak polis, Sabtu.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, pembatalan ini dibuat selepas pihaknya menerima surat daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, petang Sabtu.

Menurutnya, surat itu memaklumkan pembatalan permit yang dikeluarkan kepada Sinar Harian sebagai penganjur sebelum ini.

“Saya memohon maaf kepada semua pembaca Sinar Harian, Dr Mahathir dan Mohamed Nazri.

“Alasan yang diberikan adalah bantahan penduduk dari sekitar kawasan tersebut dan setelah dikaji dan ditimbang dari segi ketenteraman awam dengan ini kelulusan permit himpunan aman dibatalkan,” katanya.

Mengulas tentang persiapan yang dibuat, beliau berkata, persiapan telahpun dilakukan, namun, Sinar Harian akur dengan keputusan ini.

Sebagai sebuah syarikat dan organisasi yang menghormati kerajaaan hari ini untuk tidak meneruskan dialog ini.

“Tetapi, Sinar Harian akan terus mengadakan wacana-wacana seperti yang pernah kita buat sebelum ini. Insha-ALLAH kita harap Sinar harian akan menjadi pentas untuk berhujah, bukan bermaki-hamun,” katanya.

Tambahnya, bila ada cabaran dari kedua-dua pihak (Dr Mahathir dan Nazri Aziz), kami sanggup untuk beri pentas kerana kami hendak bawa mereka ke pentas Sinar Harian yang merupakan pentas ilmiah.

“Inilah yang cuba kami bawakan. Jadi dengan pembatalan ini kami sudah buat keputusan untuk tidak teruskan dialog ini,” katanya. - Sinar Harian

Artikel Lain