PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam menyatakan kekecewaannya terhadap cadangan kenaikan caj visa oleh kerajaan India. "Saya telah menyampaikan rasa tidak puas hati kita mengenai kenaikan caj visa yang dicadangkan oleh kerajaan India kepada Pesuruhjaya Tinggi India," kata beliau dalam satu posting Facebook. Dr Subramaniam, yang juga Presiden MIC berkata adalah tidak adil apabila kerajaan India menjadikan perjalanan rakyat Malaysia ke India lebih mahal, terutamanya atas sebab-sebab agama, apabila Malaysia mengambil beberapa langkah untuk memudahkan warga India melawat Malaysia. Pelancong dari India yang melawat Malaysia mendapat visa ketibaan percuma jika mereka tinggal di negara ini selama 15 hari. Sebaliknya, bayaran visa yang dicadangkan untuk rakyat Malaysia melawat ke India telah meningkat dari RM180 kepada RM456. Di New Delhi, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia T.S. Tirumurti mengesahkan bahawa kadar visa selama enam bulan akan dikekalkan. "Kadar baharu itu untuk visa selama satu tahun dengan pelbagai kemasukan. Kita akan mengekalkan kadar sedia ada untuk visa enam bulan," katanya.