KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak bukan punca pembatalan permit debat antara Datuk Seri Nazri Aziz dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata demikian ketika ditanya sama ada Perdana Menteri merupakan punca utama majlis berkenaan dibatalkan. Nazri yang menafikan perkara tersebut berkata, malah Najib berterima kasih kepada beliau kerana tampil untuk mempertahankannya terhadap serangan yang dilemparkan oleh Dr Mahathir. "Saya bertemu dengan Perdana Menteri dua minggu lalu semasa beliau datang ke Parlimen. Beliau berterima kasih kepada saya kerana sedia untuk melibatkan diri dalam debat untuk mempertahankan beliau," katanya kepada pemberita di pusat media Parlimen di sini, Isnin. Beliau menambah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyokong debat tersebut. "Isu ini (debat) tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, jadi saya tidak fikir adanya sebarang masalah. Saya fikir pihak yang bermasalah adalah polis," katanya. Terdahulu, polis memberikan kelulusan terhadap debat antara Nazri dan Dr Mahathir pada 7 April sebelum permit tersebut dibatalkan keesokan harinya. Lokasi baharu debat itu susulan polis Perak menolak permohonan permit bagi debat yang sama dijadualkan di Kuala Kangsar pada 25 Mac.