KUALA LUMPUR: Seorang wanita kerdil yang mendakwa dirinya "puteri Sultan Pahang" mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini, Isnin atas lapan pertuduhan memperoleh wang hasil aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2,841,690. Rohaida Yahil, 41, yang memakai baju T lengan pendek berwarna hitam dan tudung biru gelap, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan semula secara berasingan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed. Pada Isnin sepatutnya ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh hukum namun Rohaida yang merupakan eksekutif insurans itu menukar pengakuannya selepas melantik peguam. Terdahulu, peguam Shamsul Sulaiman yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa Rohaida memerlukan masa untuk mendapatkan khidmat dan nasihat guaman. "Rohaida sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dua bulan di Mahkamah Majistret (atas pertuduhan menipu wang tunai RM1.203 juta). Namun pihak Timbalan Pendakwa Raya telah memfail rayuan untuk meminta hukuman itu ditambah. "Tertuduh asalnya berpuas hati dengan hukuman yang ditetapkan (bagi pertuduhan menipu) tetapi disebabkan ada rayuan itu, tertuduh perlu menimbang keputusannya (pengakuan) dalam kes ini (pengubahan wang haram)," kata peguam itu. Hakim, Rushan Lutfi menetapkan 8 Mei untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir. Bagi pertuduhan pertama, Rohaida didakwa memperoleh wang ke dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad cawangan Ampang Point miliknya, melalui transaksi berjumlah RM3,400 daripada akaun simpanan Maybank milik Khuzairiah Abdul Latiff, 40. Dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, dia didakwa memperoleh wang ke dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad miliknya daripada Khuzairiah dan Mohd Ghazali Othman, 45, melalui 284 transaksi berasingan membabitkan jumlah RM2,838,290. Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di CIMB Bank cawangan Ampang Point, No.23, Jalan Mamanda 7/1, Wisma Ampang Triangle, Jalan Ampang, di sini antara 28 Ogos 2014 hingga 22 April 2016. Tujuh pertuduhan itu mengikut Subseksyen 4(1)(b) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi. Pada 14 Mac lepas wanita itu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dua bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang atas 53 pertuduhan menipu seorang pakar bedah kosmetik Datuk Dr Abdul Jalil Jidon, 60, untuk mempercayai dia adalah puteri Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bagi memperdaya mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM1.203 juta kepadanya. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 13 Mac 2017. - Bernama