suria

Badak Sumatera Pupus Di Hutan Sabah

KOTA KINABALU: Jumlah bilangan badak Sumatera dilaporkan semakin berkurangan dan kini hanya tinggal tiga spesis dalam kurungan, malah ianya dianggap sudah pupus di hutan Sabah.

Lebih kritikal, dua badak betina yang tinggal kini tidak dapat melahirkan baka.

Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tidak ada sebarang petunjuk badak Sumatera masih ada di hutan Sabah.

Jelasnya, beliau masih berharap agar usaha pembiakan menerusi In Vitro Fertilization (IVF) atau Persenyawaan Luar Rahim akan berhasil.

"Saya  optimis dan sentiasa cuba untuk melihat setiap isu dari sudut yang positif " katanya.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga memberitahu, salah seekor badak betina yang dipanggil Puntung mengalami jangkitan yang mengancam nyawanya.

Selain Puntung, dua ekor lagi yang diberi nama Tam (jantan) dan Iman (betina) dijaga oleh  Borneo Rhino Alliance (Bora) di Rizab Hidupan Liar Tabin di pantai timur daerah Lahad Datu.

Tuuga berkata, mereka mengharapkan Dr Zainal Zahari Zainuddin yang menjaga Puntung sejak 2011 dapat membantu menyembuhkan badak itu.

Beberapa pakar hidupan liar lain turut berusaha untuk mengawankan Puntung dengan Tam, namun tidak berjaya memandangkan badak betina itu mengalami masalah di bahagian peranakan.

Pengarah Eksekutif Bora, Dr Junaidi Payne berkata kehilangan Puntung akan menjadi satu tragedi kerana pada usianya 25 tahun ini, ia masih boleh menghasilkan telur untuk tempoh beberapa tahun lagi.

Manakala Iman yang ditangkap oleh sepasukan pegawai hidupan liar Sabah pada 2014 juga didapati mengalami ketumbuhan teruk pada rahimnya.

Oleh itu, IVF itu merupakan pilihan terbaik bagi mengekalkan spesies haiwan ini.

Cubaan mewujudkan embrio secara IVF telah dibuat oleh Profesor Thomas Hildebrandt bersama pasukan pakar dari Institut Zoo Leibniz dan Penyelidikan Hidupan Liar di Jerman, Profesor Cesare Galli Makmal Avantea di Itali, serta Profesor Arief Boediono Institut Pertanian Bogor di Indonesia.

Jika berjaya, embrio boleh ditawarkan kepada Indonesia untuk implantasi ke atas ibu tumpang badak betina di Sumatera.

Badak Sumatera, pupus, Sabah, IVF

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain