PETALING JAYA: Malaysia amat memerlukan lebih ramai pakar bedah pemindahan organ, namun pada masa sama terdapat kekurangan pasukan perubatan bagi membantu proses pemindahan itu. Menurut Persatuan Transplan Malaysia (MST), pada masa ini negara mempunyai kurang dari 10 pakar bedah berkenaan. Ia memberitahu bahawa terdapat hanya dua pasukan pemindahan organ - satu dari Hospital Kuala Lumpur dan satu lagi dari Hospital Selayang di Selangor. Dengan 20,000 orang yang kini di dalam senarai menunggu, Kementerian Kesihatan memutuskan bahawa sudah tiba masanya untuk menambahkan lebih ramai tenaga dan pakar pemindahan organ. Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai berkata, rancangan sedang dilakukan untuk mendapatkan lebih ramai pakar dan menggandakan bilangan pasukan bagi pemindahan organ. "Pasukan-pasukan ini akan berkhidmat di seluruh negara," katanya kepada Sunday Star. "Kita mahu menggandakan jumlah pasukan supaya mereka boleh mencapai lebih banyak lokasi dengan lebih pantas dan meliputi kawasan yang lebih luas seperti pantai timur, Sabah dan Sarawak," katanya. Beliau menambah, rancangan tersebut akan meningkatkan bilangan dan kecekapan pemindahan organ di negara ini. "Menderma organ merupakan anugerah terbaik yang ditawarkan seseorang individu," kata Dr Jeyaindran. "Oleh itu, mekanisme untuk menyampaikan anugerah untuk sesebuah nyawa itu perlu diperkukuhkan." Kebanyakan pesakit yang berada di dalam senarai menunggu adalah mereka yang memerlukan buah pinggang tetapi hanya satu peratus populasi Malaysia yang berikrar untuk menderma organ. Pada 2015, dilaporkan hanya sejumlah kecil pakar bedah bagi transplan di Malaysia, mengakibatkan pesakit terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum prosedur tersebut boleh dilaksanakan. Presiden MST, Datuk Dr Ghazali Ahmad berkata, bilangan itu menurun kepada kurang dari 10 orang. "Selain itu, terdapat juga kekurangan dewan bedah untuk melakukan transplan dan penempatan untuk transplan dalam unit rawatan rapi," katanya.