suria

Muhyiddin Ada Syarat Sokong RUU 355

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui akan menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 2016 atau Akta 355 apabila ia dibahas dan diundi pada sidang Parlimen akan datang.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau tiada halangan untuk berbuat demikian kerana ia hanya pindaan undang-undang sedia ada.

"Ia hanyalah pindaan kepada undang-undang sedia ada seperti yang pernah dilakukan pada 1984 dan 1989. Bezanya sebelum ini, pindaan dilakukan menerusi RUU kerajaan, bukan persendirian.

"Bagaimanapun, jika pandangan yang saya kemukakan diambil kira, saya tiada halangan untuk menyokong RUU ini apabila ia dibahas dan diundi dalam sidang parlimen akan datang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengenai pandangannya berkaitan RUU 355, Muhyiddin berkata, beberapa isu diketengahkan kerana bimbang akan berlaku sikap melampau dalam fahaman dan amalan agama.

"Jika tidak berhati-hati, akan wujud kecenderungan menghukum pesalah jenayah syariah secara semberono tanpa mengambil kira aspek keadilan Islam," katanya.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajar bentuk dan hukuman yang terkandung dalam RUU itu dikaji semula untuk tujuan penambahbaikan.

Mengulas lanjut, katanya, apabila RUU itu diluluskan, perlu ada jaminan pesalah bagi kesalahan dan seumpamanya tidak dikenakan hukuman penjara atau denda terlalu berat dan tidak setimpal.

Ketika membentangkan RUU 355, Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan supaya had hukuman penjara dinaikkan ke 30 tahun dan denda sehingga RM100,000.

"Langkah lindung jamin mesti ada untuk memastikan pesalah menerima hukuman yang adil dan setimpal berlandaskan hukum Syarak.

"Pindaan ini juga masih lagi mengikat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengadakan hukuman dalam tiga bentuk hukuman sahaja iaitu pemenjaraan, denda dan sebatan.

"DUN masih tidak boleh mengadakan hukuman lain seperti mewajibkan hadir solat berjemaah di masjid untuk tempoh tertentu atau melakukan kerja amal bagi orang yang melakukan kesalahan seperti tidak bersolat Jumaat, tidak berpuasa di bulan Ramadan atau seumpamanya yang saya fikir lebih sesuai untuk tujuan mendidik daripada dikenakan hukuman denda atau penjara," katanya.

Ketika ini, Akta 355 mengehadkan hukuman yang boleh dibuat oleh DUN iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan dan jika usul pindaan diluluskan, DUN boleh meningkatkan had hukuman kepada 30 tahun penjara, seratus kali sebatan dan denda RM100,000.

Muhyiddin juga berpendapat, aspek pemerkasaan mahkamah Syariah tidak perlu hanya menumpukan kepada aspek untuk memperluaskan bidang kuasa jenayah mahkamah sahaja, tetapi juga pentadbiran untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme pegawai mahkamah, termasuk hakim dan pendakwaraya.

"Peningkatan kecekapan dan profesionalisme mahkamah Syariah adalah penting untuk menjamin mahkamah Syariah dapat melaksanakan fungsinya sebagai penegak keadilan khususnya untuk umat Islam di Malaysia.

"Kini, sampai masanya hakim Syarie Mahkamah Tinggi ke atas tidak tertakluk sebagai penjawat awam dan dengan itu skim khas sebagai mana hakim mahkamah sivil dibentuk bagi hakim Syarie seluruh Malaysia," katanya.

Beliau bagaimanapun, menyifatkan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan pindaan akta itu sebagai tidak munasabah.

"Rang undang-undang ini bukanlah bertujuan melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia," katanya.

Sebaiknya kata Muhyiddin, Ahli Parlimen diberi peluang memberi pandangan dan pengundian dilakukan pada hari tersebut sebagaimana yang menjadi kelaziman dalam setiap pembentangan usul dan RUU di Dewan Rakyat.




RUU 355, Muhyiddin, Parlimen

Artikel Lain