KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengkaji mekanisme bagi membolehkan warga emas terus aktif dalam alam pekerjaan selepas menjangkaui umur 60 tahun. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata bagaimanapun kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan had umur persaraan buat masa ini. "Kita menerima banyak maklum balas berkata (tingkat umur persaraan kepada 65. Tapi bukan semua yang mencapai 60 tahun ingin terus bekerja. Sesetengah mahu bersara. "Kita cuba layan kehendak macam ini. Kalau mahu bekerja, teruskan bekerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan (Makpem) 2017 yang bertemakan "Social Protection and Sustainable Development - Empowering Older Persons" di sini, Sabtu. Katanya kerajaan juga sentiasa membincang dengan pihak berkepentingan bagi memperkenalkan dasar dan program bagi mewujudkan ekosistem yang mengalak penuaan aktif warga emas di negara ini. Selain keboleh pasaran kerja, Rohani berkata kajian juga dilakukan merangkumi keperluan perumahan, kesihatan, sosial dan kebajikan golongan itu. Ini selaras dengan unjuran bahawa Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2030, di mana 15.3 peratus daripada penduduk adalah warga tua. Menyentuh mengenai Rang Undang-Undang Pekerja Sosial, Rohani berkata ia dijangka dibentang pada sesi Dewan Rakyat pada Julai ini. Katanya rang undang-undang khusus itu perlu sebagai usaha meningkatkan professionalisme pekerja sosial dalam mengendalikan kes.