suria

Kastam KLIA Rampas 18 Tanduk Badak Sumbu Bernilai RM13.67 Juta

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 18 tanduk badak sumbu bernilai RM13.67 juta iaitu rampasan terbesar seumpamanya di negara ini, Jumaat lepas.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Hamzah Sundang berkata 18 batang tanduk badak sumbu seberat 51.445 kilogram itu diletakkan dalam kotak kayu tiba di KLIA pada 5.40 petang melalui penerbangan Qatar Airways dari Mozambique yang transit di Doha sebelum ke Kuala Lumpur.

Kargo tanduk badak sumbu itu ditandakan sebagai 'Obra De Arte' (barangan perhiasan berkaitan seni) dalam Air Waybill (surat muatan udara) manakala alamat penerima di Nilai, Negeri Sembilan, yang digunakan adalah palsu, katanya.

Bertindak atas maklumat, katanya, pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menjalankan pemeriksaan di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA terhadap kotak kayu yang disyaki membawa barang larangn import itu.

"Penyeludupan tanduk badak sumbu tersebut adalah untuk dipasarkan di negara ini," katanya dalam sidang media di sini Isnin.Hamzah berkata tanduk badak sumbu adalah dilarang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit.

Menurutnya, tanduk badak sumbu juga disenaraikan sebagai barang yang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian III kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum denda minima 10 ganda atau maksimum 20 kali ganda dari nilai barangan yang disita atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes berasingan, katanya, pihaknya berjaya mematahkan penyeludupan dadah jenis ketamin seberat 2.12 kilogram bernilai RM95,400 dengan penahanan seorang lelaki warga India yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 5 April melalui penerbangan dari Chennai, India.

Lelaki berusia 65 tahun itu merupakan seorang ahli perniagaan pernah masuk ke Malaysia sebanyak sembilan kali, katanya.Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori. - BERNAMA

badak sumbu, KLIA, JKDM

Artikel Lain