PUTRAJAYA: Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan diarahkan menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca pesawat Malaysia Airlines MH2718 tergelincir di landasan Lapangan Terbang Sibu pada Sabtu lepas. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengarahkan satu siasatan menyeluruh dijalankan segera berkata kerajaan memandang serius kejadian tersebut. "Langkah-langkah sewajarnya hasil siasatan tersebut akan diambil untuk memastikan proses pelepasan dan pendaratan yang selamat di semua lapangan terbang," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin. Tiong Lai turut memaklumkan Lapangan Terbang Sibu itu telah kembali beroperasi seperti biasa pada pukul 12.00 tengah malam Ahad. Beliau berkata Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) dan Malaysia Airlines telah diminta bekerjasama untuk memastikan operasi berjalan seperti biasa dan semua masalah yang timbul berikutan kejadian itu dapat diselesaikan terutama yang membabitkan para penumpang. "Saya juga telah mengarahkan MAHB dan Malaysia Airlines untuk sentiasa memberi maklumat terkini berkaitan jadual penerbangan kepada semua penumpang, katanya.. Dalam insiden 10.17 malam Sabtu lepas, pesawat Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur yang membawa 69 penumpang dan anak kapal tergelincir ketika mendarat semasa hujan lebat. Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu. Sebanyak 48 penerbangan yang dijadual tiba dan berlepas di Lapangan Terbang Sibu semalam dilaporkan dibatalkan dengan 3,787 penumpang terjejas susulan penutupan landasan lapangan terbang itu.-- Bernama