KUCHING: Seorang pelajar kolej berusia 24 tahun ditahan susulan penemuan mayat bayi perempuan di dalam tong sampah di sebuah apartment di Samajaya di sini. Suspek wanita itu yang merupakan pelajar diploma tahun tiga dari Belaga ditahan polis di salah sebuah unit apartment tersebut pada pukul 12.30 tengah hari Selasa, sejurus selepas mayat bayi itu ditemukan oleh seorang pencuci. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, pencuci berkenaan menemui kotak merah di dalam tong sampah pada kira-kira pukul 10 pagi, dan terkejut apabila menyedari di dalamnya adalah mayat bayi yang baharu lahir. "Dia (pencuci) segera memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan apartment yang kemundiannya menghubungi polis. Siasatan mendapati bayi itu dilahirkan pada kira-kira pukul 6.30 pagi yang sama di dalam sebuah bilik mandi unit apartment berkenaan," katanya dalam satu kenyataan. Polis pada awalnya menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan melupuskan mayat. "Jika kita mempunyai bukti bahawa bayi tersebut masih hidup semasa dibuang, kita akan mengesyorkan suspek didakwa kerana membunuh," kata Dev Kumar. Beliau menambah, ia merupakan kes buang bayi yang pertama dilaporkan kepada polis di Sarawak tahun ini.