suria

Enam Kesan Tikaman Pada Mayat Warga Emas

KOTA BHARU: Siasatan polis mendapati terdapat enam kesan tikaman pada bahagian belakang badan seorang warga emas yang mati dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Mengkebang, Kuala Krai, Rabu.

Rokiah Mamat, 61, ditemui di bahagian dapur rumahnya selepas dipercayai ditikam oleh penjenayah dalam kejadian bermotifkan samun kira-kira 3.30 petang di Kampung Mengkebang.

Susulan kejadian itu, polis Kelantan menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan termasuk mengambil dan mengenal pasti bukti fizikal di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata polis menahan empat lelaki berusia di antara 30 dan 40 tahun bagi membantu siasatan kes itu.

"Kesemua lelaki terbabit ditahan mulai 10 malam hingga 4 pagi tadi di lokasi berasingan di Kuala Krai," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner (ACP) Baharom Abu kepada penggantinya, ACP Ismail Mat Sidik di sini, Khamis.

Din berkata polis percaya perbuatan itu dilakukan oleh lebih daripada seorang individu dan penjenayah memasuki rumah melalui pintu  dapur rumah mangsa.

"Polis percaya penjenayah cuba melakukan samun namun, wanita itu mungkin melawan menyebabkan dia dibunuh.

"Setakat ini, siasatan mendapati mangsa kerugian RM200 sahaja kerana penjenayah mungkin tidak menjumpai barang kemas di dalam rumahnya.

"Apa yang kita ketahui, mangsa tinggal bersama anak dan menantunya yang juga guru. Ketika kejadian, hanya mangsa yang berada dalam rumah itu," katanya.-- Bernama


Kampung Mengkebang, Rokiah Mamat

Artikel Sebelum

Artikel Lain