suria

Jam Kiraan Detik, Masjid Jamek Dibuka Kepada Umum Hari Ini

KUALA LUMPUR: Mercu tanda baharu ibu negara - Jam Kiraan Detik di Dataran Merdeka dan Masjid Jamek yang telah dinaik taraf dibuka kepada orang ramai mulai Sabtu.

Menteri Wilayah Persekutan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata dua ikon itu bakal menjadi daya tarikan kepada pelancong, sekali gus mengangkat Kuala Lumpur setanding dengan bandar raya bertaraf antarabangsa.

Menurut Tengku Adnan, reka bentuk moden pembinaan Jam Kiraan Detik pastinya memberi inspirasi kepada peminat seni binaan kerana ia dilengkapi pancuran air yang cantik dan paparan masa.

"Lokasi ini dihiasi landskap yang indah dengan dilengkapi pelbagai kemudahan dan bakal menjadi kawasan rekreasi baharu untuk beristirehat bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya.

Tengku Adnan berkata projek pengindahan kawasan Masjid Jamek pula melibatkan pembinaan ruang solat tambahan berbumbung seluas 4,400 kaki persegi yang mampu menampung 1,000 jemaah dalam satu masa, sekali gus memberi keselesaan untuk bersolat.

Usaha menaik taraf masjid itu yang juga antara masjid tertua di ibu negara adalah bagi menerapkan aspek pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan warisan sejarah negara. - BERNAMA

jam detik, Masjid Jamek

Artikel Sebelum

Kek Nasi Lemak Tiana Kitchen

Artikel Berikut

Artikel Lain