PETALING JAYA: Kek nasi lemak, kedengaran pelik tapi itulah realitinya dan menjadi trend pada hari ini. Suka atau tidak dengan idea itu, kita tidak boleh menafikan kreativiti tersebut kerana ia berjaya mengangkat martabat seni kulinari ke satu tahap yang lebih tinggi. Pujian harus diberikan kepada Tiana Kitchen yang dikendalikan Jennifer Yap, 27 dan ibunya, Tatiana, 46, yang menawarkan kek seumpama itu di Damansara di sini. Dua beranak itu mengubah konsep perniagaan mereka apabila terlihat imej di dalam Facebook menunjukkan kek nasi lemak. Susulan itu, mereka cuba menghasilkan kek tersebut menggunakan resipi keluarga untuk sambutan hari lahir anak Jennifer pada September tahun lalu. Ingin tahu sama ada kek itu mendapat permintaan di kalangan orang ramai, Jennifer mula menjual produk tersebut dan beberapa bulan kemudian mereka menerima banyak tempahan setiap hari. Mengakui mereka bukan yang pertama tampil dengan idea tersebut, Jennifer menjelaskan mereka antara yang pertama memulakan perniagaan dalam menawarkan makanan istimewa itu. Namun apa yang membezakan Tiana Kitchen dengan imej asal mereka ketika ini adalah pelbagai pilihan perisa dan topping. "Perisa kerana kami bukan sahaja membuat versi biasa dengan ikan bilis dan kacang tanah. Kami menambahbaik resipi dengan menambah bahan-bahan seperti udang petai, sotong petai dan beberapa perisa lain," katanya. Jennifer berkata semua bahan-bahan untuk kek itu diperbuat daripada bahan asas dan tidak mengandungi sebarang perisa tiruan, pewarna atau pengawat. "Satu hari kami boleh menghasilkan maksimum 15 kek. Terutamanya pada hujung minggu, kami kebiasaannya menerima tempahan kira-kira 15 kek. Itu tempahan maksimum yang kami boleh terima," katanya. Setiap kek nasi lemak dihasilkan menggunakan asas nasi lemak dan dilapis dengan telur rebus sebelum bahagian atasnya disapu dengan sambal dan pilihan hiasan. Untuk memastikan segalanya terletak cantik, timun akan disusun di setiap sisi kek dan kemudian diikat dengan tali. Buat masa ini, Tiana Kitchen hanya menerima tempahan di sekitar Lembah Klang dengan khidmat penghantaran boleh diatur. Tempahan harus dibuat dalam tempoh tiga hari awal menerusi laman Facebook Tiana Kitchen. Sebiji kek boleh dinikmati lima hingga enam orang. Bagi sebiji kek nasi lemak berlauk ikan bilis dan kacang bersaiz standard dijual pada harga RM58 manakala tambahan bahan-bahan istimewa akan dikenakan caj tambahan. - The Star