BUKIT MERTAJAM: Kerjasama politik antara PAS dan PKR akan ditentukan dalam Muktamar PAS Ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah pada 27 April hingga 1 Mei ini. Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata isu mengenai tahaluf siyasi antara PAS-PKR itu akan menjadi topik perbincangan dan berkemungkinan besar akan mencapai keputusan sepakat. "Ketika ini hubungan dengan PKR masih tawaqquf dan isu ini akan dibincang dalam muktamar dan keputusannya kita sama-sama lihat nanti. Saya yakin perkara ini dapat dimuktamadkan sepenuhnya di muktamar dan tidak dipanjangkan ke Majlis Syura seperti sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Yayasan An-Nahdhoh di sini, Ahad. Menurutnya, sebelum ini PAS telah mengisytiharkan bahawa parti itu tidak mempunyai sebarang hubungan dengan DAP dan PAN, maka mereka tidak duduk dalam komponen PAS. Beliau berkata keputusan PAS itu adalah untuk kebaikkan semua dan bagi mengukuhkan kedudukan PAS sebagai parti yang lama kepada masyarakat Melayu beragama Islam. "Apa yang saya boleh kata, muktamar kali ini berlainan dengan sebelumnya dan banyak perkara serta isu hangat akan dibangkitkan," kata Nik Muhammad Zawawi. Media sebelum ini melaporkan bahawa kebanyakan PAS kawasan telah meluluskan usul menggesa PAS pusat untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR. Sebanyak 13 Kawasan PAS Pulau Pinang bersetuju membawa usul itu kerana PKR dilihat tidak lagi menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka. Sementara itu dalam ucapannya, Dr Nik Muhammad Zawawi menegaskan PAS tidak memerlukan dana RM90 juta yang kononnya didakwa diterimanya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Sebaliknya beliau berkata PAS bergantung sepenuhnya kepada hasil yang diperoleh daripada sumbangan anggota parti dan tidak pernah meminta dana daripada mana-mana pihak. "PAS lebih kaya daripada itu. Kalau kita masuk pilihan raya, saya boleh sebut berapa kita nak, semua ahli-ahli PAS akan berkorban dan mengeluarkan duit secukupnya dalam berapa yang kita nak. Ini kelebihan yang ada pada PAS dan tiada dalam parti-parti yang lain," katanya. Beliau berkata anggapan menyatakan PAS menerima RM90 juta daripada 1MDB itu tidak berasas dan tidak profesional. Sebelum ini Sarawak Report mendakwa pemimpin atasan PAS menerima RM90 juta yang dimasukkan ke akaun pihak terbabit sebagai usaha untuk menarik kepimpinan parti Islam itu supaya menyokong Barisan Nasional dan Umno.-- Bernama