suria

Pecah Cermin Kereta Dengan Pasu Bunga, Warga Emas Didenda

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Gara-gara memecahkan cermin depan sebuah kereta menggunakan pasu bunga, seorang penganggur warga emas didenda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhi hukuman itu terhadap Azman Keh Abdullah, 62, selepas dia mengaku bersalah melakukan khianat dengan cara memecahkan cermin depan kereta milik rakan adiknya, Hong Seong Fook, 81, menyebabkan kerugian RM800.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan 21/28, di sini pada 4 pagi, 6 April lalu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didenda RM300 atau penjara tujuh hari kerana gagal menunjukkan kad pengenalan di sebuah restoran di Jalan 21/19, di sini pada 1.30 tengah hari, 11 April lalu dan didakwa mengikut Peraturan 7 Peraturan Pendaftaran Negara (Peraturan 25) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM30,000.

Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk denda yang minimum atas alasan dia tidak bekerja dan menerima wang perbelanjaan daripada anaknya RM150 sebulan.

Azman tidak membayar kedua-dua denda itu. - BERNAMA

warga emas, denda, cermin kereta

Artikel Lain