suria

Surat Palsu PM: Pemuda Umno Buat Laporan Polis

Nazir Hussin (kanan) menunjukkan salinan laporan polis di IPD Dang Wangi berkaitan kepala surat palsu Pejabat Perdana Menteri dan tandatangan Perdana Menteri yang diedarkan kepada individu-individu tertentu bagi meraih sokongan pada Pilihan Raya Umum ke 14 akan datang, Isnin. fofo IBRAHIM MOHTAR/The Star

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno pada Isnin membuat laporan polis berhubung surat palsu menggunakan kepala surat dan tanda tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Exco Pemuda Umno Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata surat berkenaan dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ingin merosakkan reputasi Najib.

"Ini adalah satu serangan serius kepada perdana menteri. Yang jelas pihak berkenaan ingin menjatuhkan beliau.

"Saya menggesa polis menyiasat perkara ini agar pihak terbabit tidak terus menipu orang ramai," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, kira-kira 10 pagi Isnin.

Menurutnya surat palsu berkenaan dipercayai dihantar menggunakan kiriman pos kepada organisasi swasta dan syarikat milik kerajaan.

"Isi kandungan surat berkenaan yang kononnya daripada perdana menteri bagi meraih sokongan dan kesetiaan kepadanya dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14)... dan saya percaya banyak pihak menerima surat berkenaan.

"Justeru itu, kami menyeru individu, korporat atau syarikat - yang ada menerima surat palsu itu supaya tampil membuat laporan polis atau setidak-tidaknya berhubung dengan Pejabat Perdana Menteri untuk pengesahan," katanya. - BERNAMA

Pemuda Umno, PDRM, surat palsu

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan