suria

Lori Besar Cabaran Hari Ketiga Khairil Aslan Realisasikan Misi

Pendaki solo negara Khairil Aslan Ab Rasid tiba di Masjid Nurul Hidayah, Seri Manjung selepas menamatkan kayuhan sejauh 80 kilometer (km) dari Sabak Bernam pada Selasa. Foto Bernama

LUMUT: Biarpun berdepan risiko hampir dilanggar lori, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat pendaki solo negara Khairil Aslan Ab Rasid untuk menamatkan kayuhan sejauh 80 kilometer pada Selasa.

Khairil Aslan, 42, yang dalam misi ekspedisi solo berbasikal mengelilingi Semenanjung Malaysia tiba di Masjid Nurul Hidayah di sini kira-kira pukul 5.30 petang tadi selepas bertolak dari Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam pada 8.30 pagi.

"Jika semalam cuaca panas menjadi penghalang utama saya, hari ini cabaran paling besar yang saya alami adalah berselisih dengan lori-lori treler sepanjang jalan.

"Agak menakutkan juga sebab ada beberapa kali saya hampir dilanggar, tapi Alhamdulillah semuanya dipermudahkan dan saya tiba di Manjung dengan selamat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, .

Walaupun nampak keletihan kerana mengayuh dengan membawa beban seberat 60 kilogram serta tidak menjamah makanan selain sarapan pagi, bapa kepada empat cahaya mata itu tetap kelihatan bersemangat untuk berkongsi cerita mengenai pengalamannya pada Selasa.

Selain berdepan dengan cabaran ada juga perkara menarik yang berlaku hari ini antaranya beliau bertembung dengan pasangan dari Belanda yang berbasikal dari Vietnam ke Kuala Lumpur selain dikejar peminat untuk bersuafoto, katanya.

Khairil Aslan berkata bagi kayuhan seterusnya, beliau akan bertolak kira-kira 8.30 pagi esok menuju ke Pulau Pangkor bagi mengelilingi pulau peranginan itu sebelum bermalam di Masjid Terapung dekat Teluk Gadung.

Ekspedisi selama 30 hari sejauh kira-kira 2,700 kilometer itu bermula pada 16 April lalu di Masjid Bandar Seri Putra, Bangi dan akan berakhir di masjid yang sama pada 12 Mei depan.

Kayuhan bertemakan ''Dari Masjid Ku Menjelajah 2017'' adalah sebagai latihan beliau untuk menyertai Ekspedisi Solo Semenanjung Malaysia Berbasikal dan Mendaki selama 67 hari bermula Jun ini.

Khairil Aslan, yang berasal dari Batu Kurau, Perak, pernah menawan tiga puncak Himalaya iaitu Puncak Maru, Lobuche dan Island dalam tempoh 32 hari bermula 26 Nov 2015.

Beliau juga mencipta rekod sebagai antara pendaki solo Asia yang melakukan ekspedisi di ketiga-tiga puncak berkenaan pada musim sejuk. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain