suria

Sindiket Ah Long Raih RM3 Juta Sebulan Tumpas

KUALA LUMPUR: Sindiket Ah Long yang berpangkalan di Johor meraih sekurang-kurangnya RM3 juta sebulan sejak tiga tahun lalu, hidup di atas kesengsaraan orang yang terdesak meminjam wang dengan mudah.

Ah Long mengenakan kadar faedah terlalu tinggi sehingga 20 peratus sebulan.

Kadar faedah itu boleh meningkat setiap hari sekiranya 'pelanggan' gagal membayar semula mengikut jadual.

Pelanggan yang gagal akan diancam atau disimbah cat pada kediaman mereka.

Sindiket ini beroperasi dari rumah kedai, apartment sehingga ke kediaman mewah, di mana mereka mempengaruhi mangsa menerusi risalah, dari mulut ke mulut dengan menjanjikan wang 'mudah' buat mereka yang terdesak.

Seperti syarikat-syarikat lain, ia turut mempunyai barisan pekerja - pengurus, 'penguatkuasa', pengutip hutang yang bekerja di bawah dalang sindiket.

Memulakannya sebagai 'perniagaan' di Johor, sindiket tersebut memperluaskan 'jajahannya' ke Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun sindiket mereka berakhir selepas pasukan dari Bukit Aman menjalankan serbuan ke atas beberapa operasi yang dijalankan sindiket dan menahan 31 anggotanya berusia antara 23 dan 40 tahun, termasuk dalang pada Isnin dan Selasa.

Ia merupakan hasil risikan sejak tiga bulan lalu.

"Kita bekerjasama dengan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram Bukit Aman untuk menumpaskan sindiket ini. Mereka bertanggungjawab mengakibatkan kesengsaraan sekurang-kurangnya 1,500 mangsa dari seluruh negara," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Acryl berkata, dalang juga tidak terkecuali ditahan dalam serbuan menerusi Ops Vulture itu.

Beliau memberitahu salah seorang daripada suspek bergelar Datuk.

"Kami masih dalam proses menentukan jumlah mangsa yang terlibat. Setakat Isnin, senarai sindiket menunjukkan sekurang-kurangnya 1,500 mangsa di seluruh negara," katanya.

Acryl mendedahkan wang tunai lebih RM25,000 termasuk 16 kereta, dua rumah (di Negeri Sembilan) dirampas. Jumlah nilai barangan yang dirampas lebih RM1.3 juta.

Menurut Acryl, tiada mangsa yang mengalami kecederaan fizikal.

"Sehingga kini, sindiket itu tidak menyakiti atau menahan pemimjam ingkar," katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya berhenti menggunakan khidmat Ah Long.

"Tanggungjawab untuk membanteras pinjaman wang haram bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa. Realitinya sindiket ini wujud kerana permintaan orang ramai.

"Polis akan terus menjalankan operasi dan serbuan terhadap aktiviti-aktiviti ini, tetapi jika orang ramai masih berdegil untuk menggunakan perkhidmatan tersebut, masalah ini tidak dapat diselesaikan," katanya.

Artikel Lain