suria

Anggota Polis Cedera Ditikam Di Shah Alam

SHAH ALAM: Seorang anggota polis cedera di paha selepas ditikam seorang lelaki selepas ditegur kerana menghisap rokok di stesen minyak di Jalan Plumbum, Seksyen 7 , Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata dalam kejadian 9 pagi itu, Koperal Mohamad Azli Hashim, 32, dari unit Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor singgah di stesen minyak itu selepas menghantar seorang pegawai untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Shah Alam (HSA).

"Kejadian berlaku di stesen minyak itu, apabila mangsa menegur seorang lelaki  berumur 30-an agar tidak menghisap rokok ketika berada di stesen minyak," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Bagaimanapun, menurutnya, teguran itu tidak diendahkan lelaki itu yang kemudiannya beredar menuju ke arah motosikalnya.

"Anggota polis itu kemudian mengekori suspek dan berlaku pergelutan menyebabkan paha anggota polis itu cedera selepas ditikam oleh suspek menggunakan senjata tajam," katanya.

Shafien berkata suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah motosikal Yamaha LC 135 dengan nombor pendaftaran BLY 1691.

Katanya orang awam  kemudian membantu  menghantar anggota polis itu ke HSA dan mangsa  menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Gerakan memburu suspek kini giat dijalankan dan saksi yang melihat kejadian itu diminta tampil  membantu polis berhubung kes berkenaan," katanya.

Tikam Polis, tegur merokok

Artikel Lain