PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP Zairil Khir Johari telah memberikan penjelasan kepada pucuk pimpinan parti berhubung gambar kontroversi seorang lelaki bercumbu dengan seorang wanita yang dikaitkan dengan dirinya. Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata ahli Parlimen Bukit Bendera itu telah bertemu Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng pada petang Selasa. "Oleh kerana ini adalah serangan peribadi ke atas dirinya, Zairil telah meminta untuk menyelesaikan isu itu sendiri buat masa ini. "Kenyataan ini dikeluarkan untuk memaklumkan orang ramai," kata Kon Yeow dalam satu kenyataan, Khamis. Pada Selasa, empat gambar pasangan itu, yang dikatakan menyerupai wajah Ahli Parlimen Bukit Bendera (DAP) Zairil Khir Johari dan Ahli Majlis Eksekutif Pemuda DAP Kebangsaan Dyana Sofya Mohd Daud telah tersebar secara meluas di media sosial. Zairil, bagaimanapun, menafikan bahawa lelaki dalam gambar itu adalah dirinya dan menegaskan bahawa gambar-gambar itu palsu. Dalam posting Facebooknya, Dyana Sofya berkata gambar-gambar itu adalah serangan peribadi ketiga ke atas beliau dalam tempoh dua bulan. Pada Khamis, gambar kelima pasangan menyerupai wajah dua ahli politik DAP itu muncul. Zairil tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.