GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata buat masa ini beliau tidak akan mengulas mengenai gambar kontroversi seorang lelaki bercumbu dengan seorang wanita yang didakwa Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari. "Saya akan mengeluarkan kenyataan jika perlu dan tidak akan memberi komen mengenainya buat masa ini," kata Guan Eng pada sidang akhbar di Perpustakaan Digital Pulau Pinang pada Khamis. Sebelum ini, Ketua DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, Zairil telah bertemu dengan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, pada petang Selasa berhubung isu ini. "Oleh kerana ini adalah serangan peribadi ke atas dirinya, Zairil telah meminta untuk menyelesaikan isu itu sendiri buat masa ini," kata Kon Yeow dalam satu kenyataan. Pada Selasa, empat gambar pasangan, yang dikatakan menyerupai wajah Ahli Parlimen Bukit Bendera (DAP) Zairil Khir Johari dan Ahli Majlis Eksekutif Pemuda DAP Kebangsaan Dyana Sofya Mohd Daud telah tersebar secara meluas di media sosial. Zairil, bagaimanapun, menafikan bahawa lelaki dalam gambar itu adalah dirinya dan menegaskan bahawa gambar-gambar itu palsu. Dalam posting Facebooknya, Dyana Sofya berkata gambar-gambar itu adalah serangan peribadi ketiga ke atas beliau dalam tempoh dua bulan. Pada Khamis, gambar kelima pasangan menyerupai wajah dua ahli politik DAP itu muncul. Zairil tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.