KANGAR: Kerajaan pusat tidak harus tunduk dengan mana-mana pihak terutamanya parti politik yang mendesak agar pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India, kata Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Katanya, desakan yang dibuat pihak tertentu itu dengan mendakwa Zakir sebagai pengganas adalah tidak berasas, malah sengaja menimbulkan kekeliruan dan imej tidak baik kepada seorang ilmuan tersohor. "Saya hairan dengan pihak yang menimbulkan perkara ini. Berdasarkan setiap ceramah dan perkongsian ilmu oleh Dr Zakir, tiada bukti yang menunjukkan pendakwah itu mengajak orang ramai melakukan keganasan. "Mereka yang buat dakwaan perlu buktikan apakah kenyataan beliau (Zakir) yang menyeru keganasan. Segala ucapan beliau dirakamkan...jadi sila maklumkan di mana ayat yang menyeru keganasan itu?," katanya kepada pemberita, di pejabatnya, di sini, Jumaat. Mohd Asri menyatakan kekecewaan beliau terhadap senario tersebut kerana tindakan itu seperti menidakkan hak seseorang pendakwah untuk menyampaikan kebaikan. "Perkara ini dicetuskan kumpulan yang fanatik agama, diikuti dengan beberapa tokoh parti politik yang mengeluarkan kenyataan mengaitkan Zakir dengan perbuatan menghasut ke arah keganasan. "Jika perkara itu terus dibangkitkan, kerajaan juga perlu memeriksa latar belakang pendakwah agama lain terutama dari negara luar yang masuk ke rumah ibadat mereka hingga membuatkan pengikut mereka fanatik dalam sesuatu perkara," katanya. Mohd Asri turut mencadangkan satu dialog terbuka diadakan antara pendakwah antarabangsa itu (Zakir) bersama individu yang tidak berpuas hati dengannya. "Biar mereka berdialog di khalayak ramai dan buktikan ketika itu di mana Dr Zakir menyeru kepada keganasan...jika tiada, bermakna mereka perlu menerima kehadiran para ilmuan ke negara ini," katanya. Menurut Mohd Asri sesiapa sahaja boleh menganjurkan dialog tersebut, malah sekiranya tiada pihak yang sudi berbuat demikian Perlis berbesar hati untuk menganjurkan dialog itu. Sementara itu, beliau turut memuji dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan pusat kerana memberi status penduduk tetap kepada Zakir. "Ini adalah perkara yang perlu kita ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan kerana memberi status ini kerana Dr Zakir adalah aset kesarjanaan yang dibawa ke negara kita," katanya. - BERNAMA