suria

Pengasuh Ditahan Selepas Bayi Maut Akibat Kecederaan Kepala

IPOH: Polis telah menahan seorang pengasuh di Taman Meru selepas bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman di kepala pada Khamis, kata Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong.

Pada Rabu, pakar kanak-kanak dari Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) membuat laporan polis di balai polis Sungai Senam mendakwa seorang bayi mengalami kecederaan dalaman di kepala kerana terkena objek keras.

Ibu bapa bayi tersebut membawa mangsa ke hospital selepas mereka mendapati anaknya tidak sedarkan diri ketika diambil dari pusat jagaan harian di Meru.

Pada Khamis, kira-kira pukul 6.30 pagi, bayi itu disahkan meninggal dunia dan berdasarkan semua maklumat, polis menahan pengasuh berusia 36 tahun untuk membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan, bayi itu sihat ketika dihantar ibu bapanya ke pusat jagaan tersebut kira-kira pukul 7 pagi, 19 April lalu.

"Namun, berdasarkan hasil bedah siasat, bayi itu meninggal kerana kecederaan di kepala kerana terkena objek keras," kata Chang Keong di ibu pejabat polis kontinjen Ipoh dekat sini, Jumaat.

Suspek yang sudah berkahwin akan ditahan reman sehingga 27 April dan kes disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

bayi maut, Taman Meru, pengasuh

Artikel Berikut

Artikel Lain