suria

Jurutera Mati Lemas Kenderaan Terbabas Ke Dalam Sungai

KUANTAN: Seorang jurutera mati lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas ke dalam sungai di Jalan Kuantan-Maran dekat Taman Makmur dekat sini petang Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Supt Mohamad Noor Yusof Ali berkata dalam kejadian 3 petang itu, mangsa Soo Kim Choy, 49, berasal dari Taman Thivy Jaya, Seremban, Negeri Sembilan maut di tempat kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Toyota Hilux itu dalam perjalanan ke Sri Jaya, Maran dari arah Kuantan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit serta selekoh lalu terbabas ke dalam sungai. Mayatnya dibawa keluar oleh pekerja ladang dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini," katanya ketika dihubungi di sini Jumaat.

Mohamad Noor berkata sampel darah serta air kencing mangsa diambil untuk ujian toksikologi di Jabatan Kimia dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

jurutera, lemas, kemalangan

Artikel Lain