suria

Takut, Malu & Sakit Antara Punca Wanita M'sia Tak Jalani Ujian Pap Smear

BANGI: Perasaan takut, malu, dan sakit semasa pemeriksaan adalah antara persepsi negatif yang menyumbang kepada peningkatan wanita Malaysia tidak menjalani ujian saringan Pap Smear.

Selain itu, kekangan masa ke klinik, merasakan tidak penting atau ketiadaan maklumat mengenai pentingnya ujian saringan itu juga menyebabkan peratusan ujian berkenaan rendah di negara ini, kata Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam (Puspanita) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datin Noorizan Abu Bakar.

Beliau berkata berdasarkan kajian Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) Universiti Putra Malaysia (UPM), hanya 21 peratus daripada keseluruhan wanita yang layak tampil menjalani ujian saringan Pap Smear.

Katanya ujian saringan Pap Smear yang teratur boleh membantu mencegah kanser serviks atau pangkal rahim, yang merupakan kanser organ reproduktif wanita paling utama selain merupakan kanser wanita kedua paling kerap berlaku selepas kanser payu dara.

"Di Malaysia, seorang wanita maut akibat kanser serviks setiap 14 jam. Mengikut laporan Agensi Antarabangsa Penyelidikan Kanser, dalam setiap empat minit, seorang wanita mati akibat kanser serviks di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia," katanya pada program sosial inovasi Mosti iaitu Seminar Kesedaran Kesihatan Terhadap Kanser Serviks Bersama-sama Alat Persampelan Sendiri, Cervisafe, di sini, Jumaat.

Menurutnya statistik itu penting bagi menunjukkan kanser berkenaan tidak harus dipandang ringan oleh wanita sebaliknya, ia harus dianggap sebagai penyakit yang perlu dikesan pada peringkat awal.

Seramai 150 anggota Puspanita Mosti dan agensi-agensi di bawah kementerian menghadiri seminar itu. tersebut. Selain itu, 85 anggotanya menjalani ujian saringan pengambilan sampel serviks dengan menggunakan alat persampelan sendiri, Cervisafe, secara percuma. Harga Cervisafe di pasaran adalah kira-kira RM300.

Noorizan berkata berkata Mosti, melalui Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), menghasilkan dan memperkenalkan kaedah alternatif saringan kanser serviks dengan Cervisafe, ujian saringan HPV DNA dan Liquid-Based Cytology (LBC).

"Cervisafe adalah produk hasil rekaan rakyat Malaysia yang berjaya dikomersilkan melalui pembiayaan Dana Penyelidikan dan Pembangunan Komersilisasi (CRDF) Mosti yang disalurkan melalui MTDC.

"Cervisafe adalah kaedah alternatif yang sangat baik dalam memastikan semua golongan wanita peka dalam penjagaan kesihatan serviks masing-masing. Ia direka khas mengikut kesesuaian tubuh wanita yang menjadikan pengambilan sampel secara sendiri lebih praktikal dan selesa.

"Oleh yang demikian, inovasi teknologi baru Cervisafe ini memudahkan dan tidak lagi menghalang wanita daripada menjaga kesihatan serviks mereka. Sesungguhnya pengesanan awal bagi sebarang penyakit adalah yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata Program Kesedaran Kesihatan Terhadap Kanser Serviks Bersama-sama Alat Persampelan Sendiri, Cervisafe merupakan projek untuk memberi peluang kepada golongan sasar yang kurang berkemampuan melakukan pensampelan serviks.

"Ia dirancang untuk dijalankan di lapan lokasi di seluruh negara dan fokus utama utama di kawasan luar bandar. Melalui program ini, MTDC dan Mosti menyasarkan untuk membuat persampelan ke atas 700 wanita yang layak," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah MTDC Mariamah Daud.

Dengan adanya Cervisafe, Norhalim berkata wanita di bandar dan luar bandar boleh menggunakannya tanpa perlu ke pusat kesihatan, klinik ataupun hospital dengan sampel diuji di makmal berakreditasi dan keputusan diketahui dalam masa seminggu.

"Kaedah ini diharap dapat meningkatkan pengesanan kanser serviks di peringkat awal dan seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat daripada kanser itu di negara ini," katanya.--Bernama

Pap Smear, Puspanita, Mosti

Artikel Lain