KUALA LUMPUR: Wartawan R.AGE The Star memenangi Anugerah Kajai pada Majlis Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2016 sempena Malam Wartawan Malaysia 2017 di sini malam Jumaat. Malah kumpulan itu turut mengungguli kategori Laporan Penyiasatan Cemerlang untuk projek Predator In My Phone. "Amat menyeronokkan akhirnya memenangi Anugerah MPI kerana kami sangat sibuk di R.AGE, kami terlepas tarikh akhir bagi tempoh tiga tahun yang lalu," kata editornya, Ian Yee. Penghargaan tertinggi itu diperolehi dua hari selepas mereka menerima dua anugerah emas pada Anugerah Media Asia dan lima bulan selepas kemenangan di Washington DC. R.AGE ditubuhkan pada 2005 sebagai seksyen belia The Star. The Star turut memenangi anugerah bagi desain halaman pertama terbaik menerusi Tun Eng Hwa manakala Art Chen Soon Ling merangkul kategori kewartawanan foto cemerlang. Izra (kanan) dan Iwan bersama Rozaid (tengah). Sementara itu, wartawan mstar Online, Izrayatul Maizura Abdul Rahman dan Iwan Shu-Aswad Shuaib menerima hadiah saguhati bagi kategori Laporan Portal Berita Terbaik bertajuk 'Sesumpah' Rakus Di KLIA2, 'Sesumpah' Di KLIA2 Lebih 'Laris' Berbanding Teksi, Ulat dan 'Sesumpah' Kaut Untung, Syarikat Tanggung Rugi. Hasil kemenangan itu mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 berserta sijil. Iwan berkata beliau bersyukur kerana penulisan mereka diiktiraf antara tiga laporan portal berita terbaik bagi kategori tersebut. "Alhamdulillah di atas pengiktirafan tiga teratas. Kami akan terus berusaha menghasilkan karya bermutu dan seterusnya diiktiraf," katanya. Dalam pada itu, Izrayatul atau lebih mesra disapa Izra menyifatkan berada dalam kalangan tiga laporan terbaik memang menggembirakan tetapi ia masih belum memuaskan hatinya. "Saya akan terus berusaha menulis dan cuba menghasilkan karya-karya bermutu dan diiktiraf selain memberi manfaat kepada semua," katanya. Pengarang Eksekutif mStar, Rozaid A. Rahman berkata, ini adalah tahun kedua berturut-turut mStar Online berada di kategori tiga laporan portal berita terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia. "Tahun depan mStar berazam untuk muncul sebagai juara. Insya-Allah kami mahu menjadi yang terbaik untuk para pembaca kami," kata Rozaid. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Izra kerana kali kedua berada di tiga finalis terbaik.