suria

Guru Baling Kerusi, Kepala Pelajar Dikena Lapan Jahitan

Kepala pelajar Tahun Dua dikenakan lapan jahitan.

KOTA KINABALU: Seorang guru di Panampang hilang sabar terhadap seorang murid lelaki Tahun Dua yang membuat bising di dalam kelasnya.

Guru tersebut telah meminta murid berkenaan supaya diam, namun arahannya itu tidak diendahkan.

Sebaik sahaja guru tersebut mendekatinya, pelajar lelaki itu terus melarikan diri.

Ia menyebabkan guru tersebut naik marah dan membaling kerusi kayu untuk menghalang pelajar tersebut daripada terus berlari.

Namun malang sekali, kerusi yang dibaling itu terkena kepala pelajar tersebut yang menyebabkan luka dan terpaksa dikenakan lapan jahitan.

Ibu bapa pelajar tersebut telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan seterusnya membuat laporan polis.

Ibu pelajar itu yang hanya mahu dikenali sebagai Wanie, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja dan pihak sekolah telah menelefonnya lebih kurang pukul 9.30 pagi.

"Saya terkejut dan takut. Saya terus ke hospital dan bercakap dengan guru sebelum pergi ke balai polis untuk membuat laporan," jelasnya.

Selepas berbincang panjang lebar dengan guru dan pegawai-pegawai pendidikan, termasuk dari Jabatan Pelajaran Sabah, Wanie memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap guru itu.

"Saya dan suami telah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang kerana ingin memberi peluang kedua kepada guru itu," katanya, sambil menambah guru itu telah memohon maaf di atas tindakannya.

Bagaimanapun, dia berharap tindakan disiplin yang lebih ketat perlu dikenakan kepada guru tersebut sebagai peringatan dan pengajaran kepada guru-guru lain.

Pelajar tersebut yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Pengarah Jabatan Pendidikan, Datuk Maiminah Suhaibul berkata guru yang terlibat dalam kejadian itu telah diarahkan supaya berhenti mengajar buat masa sekarang.

"Dia kini bekerja di pejabat pendidikan daerah sehingga kami kami membuat keputusan tindakan seterusnya," katanya.

hilang sabar, murid bising

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Raja Bomoh Ditahan

Artikel Lain