suria

KDN Minta Pihak Sekolah Lapor Kegiatan Gangsterisme

JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu pentadbiran sekolah segera melaporkan sebarang perbuatan jenayah terutamanya gangsterisme yang melibatkan pelajar di sekolah mereka, dan bukannya menyembunyikan perkara itu.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ia bagi memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan segera menangani isu itu kerana ia berada di bawah bidang kuasa polis.

"Pihak sekolah kena beri maklumat kepada polis kerana penguatkuasaan adalah di bawah polis. Kalau sekolah tidak melaporkan kejadian gangsterisme dengan cepat, maka tindakan yang diambil polis pun lambat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada peserta Amerin Rotary Charity Carnival 2017 di sini pada Ahad.

Nur Jazlan berkata apa yang dilakukan polis adalah memilih sekolah-sekolah berisiko tinggi untuk melakukan rondaan berkala dan dengan kekerapan kehadiran polis, ia mampu mencegah rancangan yang dilakukan penjenayah.

"Kadang-kadang penjenayah tidak statik di sesuatu tempat dan mereka akan sentiasa melihat lubuk di mana kawalan polis tidak dipertingkatkan.

"Jadi, apabila ada kelemahan di mana-mana tempat, polis akan mengarahkan anggotanya untuk meningkatkan aktiviti pencegahan seperti yang dilakukan di Klang (Selangor)," katanya.

Khamis lalu, dua video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai anggota Geng 24 menimbulkan kekecohan di luar sebuah sekolah di Klang menjadi tular dalam media sosial.

Video pertama menunjukkan sekumpulan orang menjerit sambil memegang kain rentang yang tertera ''24'' dan ''TD4'' manakala video kedua pula menunjukkan kek berserta tulisan ''SMK Sri Andalas'', ''24'' dan Apache''.

Berikutan itu, polis menahan sembilan anggota Geng 24, dua hari lepas kerana dipercayai terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dan tangkapan terbaharu itu menjadikan seramai 27 anggota kumpulan tersebut termasuk pelajar ditahan setakat ini.

Kementerian Dalam Negeri

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan