suria

Kejayaan Takluk Kutub Utara Hadiah Terindah Buat Qobin

TIGA penjelajah Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 yang diketuai Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin (lima dari kanan), Shahrom Abdullah (dua dari kiri) dan Mohd Irwan Yusoff Abdullah (tiga dari kanan) selamat tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur hari ini selepas menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Utara Khamis lalu. Turut hadir menyambut Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof (kanan). - BERNAMA

SEPANG: Ketua Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin menganggap kejayaan menamatkan misi ke Titik 90 Darjah Kutub Utara sebagai hadiah paling bermakna buat dirinya.

Ini kerana, menurut Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, kejayaan menakluk Kutub Utara bersamaan dengan tarikh ulang tahun kelahiran yang ke-35 pada April lalu.

"Saya berasa terharu kerana diberi ruang dan peluang untuk menyambut hari kelahiran saya di Kutub Utara kerana dapat menyaksikan pemandangan yang indah di tempat yang menarik dan unik.

"Kebetulan hari kelahiran saya pada hari tersebut, saya berada di sana dan sudah pasti ianya akan menjadi kenangan paling manis sepanjang hidup yang takkan saya lupakan", ujarnya kepada mStar Online.

Terdahulu, kepulangan wira negara itu disambut pemuda Umno Lembah Pantai, ahli KE7B serta ahli keluarga terdekat.

Tiga penjelajah Malaysia yang diketuai Qobin bersama atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan pesawat TG 0415 dari Bangkok kira-kira pukul 12.17 tengah hari, Ahad.

Sementara itu, Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata, pihaknya dalam perancangan bagi melaksanakan satu lagi misi ekspedisi besar negara iaitu untuk menakluk 'grand slam' hujung tahun ini.

"Terdapat beberapa perancangan yang sedang kita teliti.

"Sekiranya keadaan kewangan mengizinkan dan mendapat tajaan tambahan, kita merancang sebelum hujung ini kita akan cuba laksanakan satu lagi ekspedisi seperti yang dicadangkan saudara Qobin", katanya.

Dalam pada itu, Qobin turut menzahirkan rasa syukur kerana ekspedisi itu dipermudahkan dan berjaya ditamatkan lima hari lebih awal daripada yang dijadualkan walaupun menempuh pelbagai halangan.

"Saya berasa bersyukur kerana dipermudahkan segala urusan.

"Kami berjaya sampai awal kerana terdapat satu jambatan ais yang hampir pecah dan kami letakkan lebih banyak ais untuk kami melintasi lautan yang sudah cair yang berada di kiri dan kanan kami".

"Dan kerana jambatan ais itulah mempercepatkan lagi proses perjalanan kami", ujarnya.

Ketiga-tiga penjelajah itu berjaya menamatkan misi ke Titik 90 Darjah Kutub Utara pada pukul 5.06 petang Khamis waktu Kutub Utara (11.06 malam Khamis waktu Malaysia).

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan