JOHOR BAHRU: Usaha menyelamatkan tangan kanan pelajar kes pukul di madrasah Kota Tinggi di sini giat dilakukan selepas kaki murid 11 tahun itu dipotong disebabkan oleh kerosakan saraf akibat jangkitan bakteria. Ibu mangsa, Felda Wani Ahmad, 40, berkata, anaknya masih dalam keadaan koma selepas melalui pembedahan untuk membuang kedua-dua kakinya pada hari Jumaat lalu. Katanya, anaknya menunjukan tindak balas positif kepada rawatan yang dijalankan oleh pasukan perubatan Hospital Sultan Ismail (HSI) melibatkan lengan kanannya. "Alhamdulillah doktor telah mengambil beberapa sampel dan melihat tangan kanannya mula berubah dari hitam ke warna merah. "Doktor memberitahu kami bahawa ini adalah satu tanda positif kerana ia menunjukkan saraf bertindak balas kepada rawatan dan mudah-mudahan ia akan menyelamatkan tangan kanannya daripada dipotong," katanya. Pada Sabtu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, dilaporkan berkata, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffie terpaksa dipotong kedua kakinya kerana mahu mengelakkan jangkitan kuman ke atas tubuh badan namun pelajar itu kemudian disahkan koma. Mohamad Thaqif Amin dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, Rabu lepas, menjadi tular di media sosial selepas dipercayai mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas akibat dipukul oleh pembantu warden. Sementara itu, ibu mangsa menambah, Beliau sekeluarga bersyukur dengan perkembangan baik itu dan berdoa anaknya akan bangun dari koma.-Sinar Harian