suria

Empat Ditahan Sindiket Penipuan Hartanah

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat individu berhubung sindiket penipuan jual beli hartanah yang tidak wujud di Sg Tua.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, salah seorang mangsa membuat laporan polis pada 8 April lalu.

"Mangsa yang merupakan seorang wanita mendakwa melihat iklan secara dalam talian dan berkunjung ke sebuah bilik pameran di Jalan Segambut sebelum ditawarkan sebuah unit pada harga RM120,000.

"Ejen itu mendakwa dia perlu membuat bayaran tempahan sebanyak RM5,000 dan dia kemudian melakukannya," katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis Sentul pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa yang mencurigai perkara tersebut membuat pemeriksaan mengenai kesahihan pembangunan perumahan itu di Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Dia kemudiannya diberitahu bahawa tiada projek sedemikian di tanah berkenaan.

"Susulan laporan itu, kita mengadakan beberapa serbuan dan menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 31 dan 51 tahun.

"Salah seorang suspek sebelum ini terlibat dalam penipuan lain bagi jual beli kenderaan yang tidak wujud," katanya sambil menambah polis kini memburu dua lagi suspek.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 16 laporan polis dibuat berhubung kes tersebut, membabitkan kerugian sehingga RM80,000.

Artikel Lain