suria

Johor Galak Organisasi, Agensi Awam Tandatangani Ikrar Rasuah

Mohamed Khaled Nordin.

ISKANDAR PUTERI: Semua organisasi dan agensi awam di negeri ini digalakkan memperluaskan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kepada kakitangan masing-masing bagi menjadikan Johor sebagai negeri yang bersih dan bebas daripada rasuah. 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penekanan itu dibuat kerana mereka (kakitangan) adalah golongan yang menjalankan tugas dan oleh itu, penting untuk menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama memegang jawatan dalam kerajaan. 

"Saya percaya kerajaan terbaik bukan mengenai sistem terbaik tetapi keperkasaan peribadi para penjawatnya. 

"Kita mesti mencari jalan untuk memastikan hanya mereka yang amanah berada dalam sistem kita. Mereka yang curang, tidak layak untuk memegang amanah bangsa dan negara," katanya berucap merasmikan program i-MOVE kerajaan negeri di sini, Selasa.

Menurut beliau, IBR adalah inisiatif baharu yang diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membolehkan kepimpinan organsasi dan warganya menandatangi ikrar dan janji secara sukarela atas kapasiti sebagai individu. 

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata sudah tiba masanya untuk petunjuk prestasi utama (KPI) dikembangkan kepada setiap penjawat awam negeri.

Katanya, ia sebelum ini dimulakan di peringkat anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri atau exco dan kemudian, diperluaskan kepada semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Johor.

"Mereka telah diberi beberapa sasaran besar yang mesti dicapai dalam tempoh-tempoh tertentu.

"Dengan meletakkan sasaran serta KPI yang jelas, ia bukan sahaja akan menjadikan para kakitangan awam lebih berfokus malah, akan mengangkat Johor sebagai antara negeri yang mempamerkan keseriusan dalam mengubah dan memperkasakan sistem perkhidmatan awamnya," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain