SEPANG: Seorang pekerja wanita warga Indonesia maut disambar petir ketika menyelenggara landskap di bawah Menara Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini tengah hari Selasa. Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Pariah, 45, meninggal dunia di tempat kejadian. Beliau berkata mayat mangsa ditemukan rakan sekerjanya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada majikan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, kata Abdul Aziz. - BERNAMA