JOHOR BAHRU: Pembedahan tangan kanan Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, yang dijadual dilakukan pagi Rabu telah ditangguhkan. Ibu saudaranya Dzuraidah Ahmad berkata ia ditangguhkan berikutan keadaan jantung pelajar thafiz itu dilapor berada dalam keadaan tidak stabil. "Mohamad Thaqif Amin sepatutnya dijadual menjalani pembedahan memotong tangannya dari bahagian jari hingga bawah siku pada 8 pagi ini. "Bagaimanapun pembedahan kini ditangguhkan sehingga jantungnya kembali stabil," katanya. Mohamad Thaqif Amin pada mulanya dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail di sini Rabu lepas susulan dia dilapor dipukul oleh pembantu warden asrama sekolahnya. Kedua belah kakinya sebelum ini turut dipotong bagi mengelak jangkitan kuman pada bahagian lain tubuhnya.-- Bernama