KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd terus mengukuhkan hubungannya melalui hab sekunder dengan memperkenalkan tiga laluan baharu, Langkawi-Shenzhen, Langkawi-Kuching dan Johor Bahru-Kuala Terengganu. Laluan baharu dari Langkawi itu termasuklah penerbangan tiga kali seminggu ke Shenzhen, dan penerbangan empat kali seminggu ke Kuching. Penerbangan dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu adalah tiga kali seminggu. AirAsia dalam kenyataan berkata tambang promosi itu dari RM59 untuk perjalanan sehala dari Johor Bahru-Kuala Terengganu, RM79 dari Langkawi-Kuching dan RM99 bagi laluan Langkawi-Shenzhen. Tambang promosi termasuk semua itu boleh ditempah mulai Jumaat hingga 7 Mei, 2017. Tempoh perjalanan bagi Johor Bahru- Kuala Terengganu adalah dari 22 Jun, 2017 hingga 5 Jun, 2018 dan dari 9 Ogos, 2017 hingga 5 Jun, 2018 bagi penerbangan Langkawi-Shenzhen dan Langkawi-Kuching.-- Bernama