BANGKOK: AirAsia X akan melakukan penerbangan ke Eropah tidak lama lagi menggunakan Airbus A330 untuk memanfaatkan permintaan yang meningkat ke rantau itu, selepas pelancaran laluan Kuala Lumpur-Hawaii pada 28 Jun. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, berkata syarikat penerbangan itu akan melakukan penerbangan ke Eropah tidak lama lagi tetapi tidak menyatakan laluan sebenar ke rantau itu. "Kami hendak melancarkan laluan Eropah apabila krisis Ukraine berlaku," katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Global WTTC Ke-17 di sini Khamis. Beliau membayangkan destinasi tersebut mungkin London, Manchester atau Dublin. Fernandes sebelum itu menghadiri sesi ''Meet the Experts'' dan ditemu bual oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden WTTC, David Scowsill, mengenai topik ''Responsible and Responsive Leadership''. Sidang kemuncak selama dua hari yang berakhir hari ini bertujuan menghimpunkan pemimpin industri di peringkat global dari sektor awam dan swasta untuk membincangkan tema, ''Transforming our World'', yang menumpukan kepada kemampanan. Fernandes adalah antara penceramah utama, selain bekas Perdana Menteri Britain David Cameron, Setiausaha Agung Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) Taleb Rifai dan Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Kobkarn Wattanavrangkul. Acara itu dihadiri kira-kira 800 eksekutif kanan dari industri pengembaraan dan pelancongan global termasuk mereka dari sektor awam dan swasta, serta menteri dari 13 negara. -Bernama