suria

MH17: Saman Keluarga Australia Selesai

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) mencapai penyelesaian dengan sebuah keluarga Australia berhubung kejadian pesawat MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine hampir tiga tahun lalu dan turut mengorbankan anggota keluarga tersebut.

Pasangan Anthony dan Marite Maslin memfail saman ke atas MAS tahun lalu atas kehilangan tiga orang anak mereka Mo, 12, Evie, 10, dan Otis, 8, serta bapa Marite, Nick Norris dalam tragedi itu.

"Malaysian Airline System Berhad mengesahkan ia mencapai penyelesaian dengan keluarga Maslin dan oleh itu saman tersebut telah ditarik balik.

"MAS bagaimanapun tidak akan mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai saman itu atau butiran penyelesaiannya bagi menghormati privasi keluarga berkenaan.

"Ingatan dan doa kami kekal dengan keluarga tersebut dan rakan-rakan yang terlibat," kata MAS dalam satu kenyataan, Selasa.

Dilaporkan Maslin merupakan keluarga pertama Australia yang mencapai penyelesaian dengan MAS.

Penerbangan MH17 ditembak jatuh di wilayah Donetsk timur Ukraine pada 17 Julai 2014 mengakibatkan 298 penumpang dan anak kapal termasuk 44 rakyat Malaysia serta 38 rakyat atau penduduk Australia terkorban.

MH17, Australia, MAS

Artikel Lain