KUALA LUMPUR: Sebuah sel kumpulan mlitan IS menyeludup masuk senjata dari selatan Thailand dan menyimpan bekalan tersebut kira-kira selama setahun sebagai persediaan untuk melancarkan serangan di dalam mahupun luar negara. Sel tersebut yang berpangkalan di Kelantan didedahkan polis ketika penahanan enam individu dalam satu operasi serbuan di seluruh negara. "Pihak berkuasa percaya mereka menyeludup masuk senjata api selama setahun tetapi tempoh itu mungkin lebih lama," kata sumber kepada The Star pada Rabu. Dua anggota pengganas ditahan di Kelantan pada 24 dan 25 Mac lalu, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri ke Golok. Empat militan IS ditahan di Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Selangor dalam satu serbuan dilakukan Cawangan Khas Bahagian Anti Pengganas Bukit Aman antara 24 Mac dan 25 April lalu. Menurut sumber, antara senjata yang diseludup oleh kumpulan itu termasuklah senapang pam, Colt M4 Carbine dan Glock. "Pihak berkuasa percaya sel itu mempunyai lima pistol semi automatik, sepucuk senapang pam dan Colt M4 Carbine. Namun, mungkin terdapat lebih banyak lagi yang gagal ditemui pihak berkuasa," katanya. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan dua suspek berusia 26 dan 41 tahun di Kelantan. "Kami percaya mereka terlibat dalam kegiatan penyeludupan senjata api dari selatan Thailand untuk kumpulan pengganas," katanya. Namun Khalid berkata polis sedang menjejaki Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi, 27, dari Kampung Gertak, Rantau Panjang, Kelantan, iaitu suspek ketiga kumpulan tersebut. "Kami percaya dia dari sel yang sama dengan dua suspek yang ditahan di Kelantan. "Dia berjaya melarikan diri ke selatan Thailand melalui Sungai Golok dengan membawa bersama sepucuk pistol dan senapang M4 Carbine pada 22 Mac lalu. Dia juga terlibat menyeludup masuk senjata dari Thailand," katanya. Sumber berkata Muhammad Muzaffa turut bertindak sebagai perantara bagi sel IS di Thailand. Khalid menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk menghubungi Inspektor Mohd Badri Othman di talian 011-2692 4829 atau pergi ke balai polis berhampiran. Serbuan di lima negeri itu turut membawa kepada penahanan seorang pelajar kolej berusia 26 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 April lalu. "Dia pergi ke Turki pada 29 Ogos lalu dengan niat untuk ke Syria bagi menyertai kumpulan IS. "Namun, sementara menunggu arahan daripada pemimpin kanan IS warganegara Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, suspek ditahan oleh pihak berkuasa Turki pada 5 Februari lalu," kata Khalid. Pada 20 Apri, seorang penganggur berusia 41 tahun ditahan di Melaka manakala wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai juruteknik kilang ditahan di Johor. "Kami percaya mereka bertindak aktif menyebarkan propaganda IS menerusi aplikasi Google Plus," katanya.